MARI MENJADI HAMBA YANG TAWAKAL
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Ahad, 06 Jamadil Akhir 1438H
*MARI MENJADI HAMBA YANG TAWAKAL.*
Tawakal merupakan prinsip dalam kehidupan seorang Muslim, kerana dengan sikap tawakal akan melahirkan insan yang cekal, dalam menjalani kehidupan.
Sifat tawakal selalu digandingkan dengan iman memberi makna bahawa antara iman dan tawakal ada dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Orang yang beriman akan melahirkan sifat tawakal, dan orang yang tawakal menunjukkan tanda sebagai orang yang beriman. Allah SWT berfirman dala Surah Al-Anfal, ayat 2:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (QS. Al Anfal : 2).
Definisi tawakal :
Imam Ibnu Rajab rahimahullah berkata, “Hakikat tawakal adalah hati benar-benar bergantung kepada Allah dalam rangka memperoleh maslahat (hal-hal yang baik) dan menolak mudhorat (hal-hal yang buruk) dari urusan-urusan dunia dan akhirat”
Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata, “Tawakal adalah menyandarkan permasalahan kepada Allah dalam mengupayakan yang dicari dan menolak apa-apa yang tidak disenangi, disertai percaya penuh kepada Allah Ta’ala dan menempuh sebab (sebab adalah upaya dan aktiviti yang dilakukan untuk meraih tujuan) yang diizinkan syari’at.”
Dari definisi di atas, para ulama menjelaskan bahawa tawakal harus dibangun di atas dua hal pokok iaitu bersandarnya hati kepada Allah dan mengupayakan sebab yang dihalalkan. Orang berupaya menempuh sebab saja namun tidak bersandar kepada Allah, maka bererti ia cacat imannya. Adapun orang yang bersandar kepada Allah namun tidak berusaha menempuh sebab yang dihalalkan, maka ia bererti cacat akalnya.
Tawakal bukanlah pasrah tanpa berusaha, namun harus disertai ikhtiar/usaha. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam telah memberikan contoh tawakal yang disertai usaha yang memperjelaskan bahawa tawakal tidak lepas dari ikhtiar dan penyandaran diri kepada Allah.
Dari Umar bin Al Khaththab radhiyallahu ‘anhu berkata, bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Seandainya kalian betul-betul bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kalian rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” (HR. Ahmad, Tirmidzi, dan Al Hakim)
Untuk mewujudkan tawakal yang benar dan ikhlas diperlukan syarat-syarat. Syarat-syarat ini wajib dipenuhi untuk mewujudkan semua yang telah Allah janjikan. Para ulama menyampaikan empat syarat utama terwujudnya sikap tawakal yang benar, iaitu:
1. Bertawakal hanya kepada Allah saja.
Manusia yang bertawakkal semata-mata hanya kepada Allah SWT dan bukan kepada selainNya. Firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 123:
وَلِلَّهِ غَيْبُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَإِلَيْهِ يُرْجَعُ الْأَمْرُ كُلُّهُ فَاعْبُدْهُ وَتَوَكَّلْ عَلَيْهِ وَمَا رَبُّكَ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
"Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan".
2. Berkeyakinan dengan teguh bahawa Allah SWT adalah Zat Yang Maha mampu mewujudkan semua permintaan dan keperluan hamba-hambaNya dan semua apa yang didapatkan hamba hanyalah dengan pengaturan dan kehendak Allah SWT. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman, dalam Surah Ibrahim, ayat 12:
وَمَا لَنَا أَلَّا نَتَوَكَّلَ عَلَى اللَّهِ وَقَدْ هَدَانَا سُبُلَنَا وَلَنَصْبِرَنَّ عَلَىٰ مَا آذَيْتُمُونَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُتَوَكِّلُونَ
"Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Ia telah menunjukkan jalan untuk tiap-tiap seorang dari kami menjalaninya? Dan demi sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang-orang yang mahu berserah".
3. Berkeyakinan bahawa Allah akan merealisasikan apa yang di-tawakal-kan seorang hamba apabila ia mengikhlaskan niatnya dan menghadap kepada Allah SWT dengan hatinya.
Allah SWT berfirman dalam Surah At-Talaq, ayat 3:
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
"Dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu".
4. Tidak putus asa dan patah hati dalam semua usaha yang dilakukan hamba dalam memenuhi keperluan hidup dengan tetap menyerahkan semua urusannya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah, ayat 129:
فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ
"Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar." (QS. At-taubah: 129).
Apabila seorang hamba bertawakal kepada Allah dengan benar-benar ikhlas dan terus mengingati keagungan Allah SWT, maka hati dan akalnya serta seluruh kekuatannya akan semakin kuat mendorongnya untuk melakukan semua amalan. Dengan besarnya tawakal kepada Allah SWT, akan memberikan keyakinan yang besar sekali bahkan membuahkan kekuatan yang luar biasa dalam menghadapi mehnah dan ujian yang berat.
Dengan mendasarkan diri pada keyakinan bahawa hanya Allah SWT saja yang dapat memberikan kemudharatan maka seorang mukmin tidak akan gentar dan takut terhadap mehnah dan ujian yang melanda, seberapa pun besarnya, kerana dia yakin bahawa Allah akan menolong hambaNya yang berusaha dan menyandarkan hatinya hanya kepada Allah. Dengan keyakinan yang kuat seperti inilah muncul mujahid-mujahid besar dan ulama-ulama pembela agama Islam yang sentiasa teguh di atas agama Islam walaupun menghadapi ujian yang besar, bahkan mereka rela mengorbankan jiwa dan raganya untuk agama Islam.
Tawakal yang sebenarnya kepada Allah Ta’ala akan menjadikan hati seorang mukmin redha kepada segala ketentuan dan takdir Allah, yang ini merupakan ciri utama orang yang telah merasakan kemanisan dan kesempurnaan iman.
Setiap hari, dalam setiap solat, bahkan dalam setiap raka’at solat kita selalu membaca ayat yang mulia,‘Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in’; hanya kepadaMu ya Allah kami beribadah, dan hanya kepadaMu kami meminta pertolongan… Oleh sebab itu bagi seorang mukmin, tempat menggantungkan hati dan puncak harapannya adalah Allah SWT semata, bukan selainNya. Kepada Allah SWT lah kita serahkan seluruh urusan kita.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ma’idah, ayat 23:
َ وَعَلَى اللَّهِ فَتَوَكَّلُوا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
“Dan hanya kepada Allah SWT saja hendaknya kalian bertawakal, jika kalian benar-benar beriman.” (QS. al-Ma’idah: 23).
Ayat yang mulia ini menunjukkan kewajipan kita menyandarkan sepenuh hati semata-mata hanya kepada Allah SWT, kerana tawakal adalah termasuk ibadah.
Ya Allah jadikan kami sebagai hambaMu yang sentiasa bertawakkal kepadaMu. Berilah kekuatan kepada kami untuk tetap bertawakkal hanya kepadaMu. Aamiinn Ya Robbal 'Aalamiin !!!!!
Wallahu A'lam.
Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….
Jazzakumullahu khairanjaza’..
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam...
Comments
Post a Comment