Thabat (constancy) dan Murunah (flexibility)
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Selasa, 28 Rejab 1438H
*AL-THABAT & AL-MURUNAH*
Thabat membawa maksud tetap dan teguh serta tidak berubah. Dalam ajaran Islam ada perkara-perkara yang dinyatakan secara tetap atau qat'ie tidak boleh dipinda dan diubah dasar dan prinsipnya.
Konsep Thabat;
*1. Akidah.*
Dapat dilihat dari segi kepercayaan terhadap Allah s.w.t. yang Maha Esa dan tiada sekutu bagiNya. Perkara-perkara berkaitan akidah adalah tetap dan tidak boleh dipinda atau diubah-ubah. Firman Allah SWT :
وَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ لَّا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَٰنُ الرَّحِيمُ
"Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani." (QS, Al-Baqarah : 163)
*2. Ibadat.*
Dalam konteks 'amaliyyah seperti ibadat solat, puasa, haji dan zakat telah ditetapkan cara dan waktu perlaksanaan dalam syariat Islam.
*3. Ketetapan hukum syariah* yang diwajibkan dalam al-Qur’an dan al-Hadith seperti hukum hudud dan qisas tidak boleh diubah-ubah perlaksanaannya. Begitu juga hukum haram bagi khinzir, minum arak, berjudi dan riba.
Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi, ketetapan dan keanjalan dalam syariat Islam adalah seperti berikut;
1. Tetap pada tujuan dan matlamatnya tetapi anjal pada bentuk pelaksanaannya.
2. Tetap pada dasar dan kaedah umumnya tetapi anjal pada perkara-perkara cabang atau furu'.
3. Tetap pada nilai keagamaan dan akhlak tetapi anjal pada urusan keduniaan dan ilmu pengetahuan.
Murunah pula membawa maksud anjal iaitu boleh berubah mengikut kesesuaian namun masih tetap atas prinsip asasnya. Konsep Murunah dari sudut;
a) Cara dan jalan untuk mencapai matlamat dan tujuannya
b) Cabang-cabang dan ranting-ranting bagi usul-usul dan prinsip-prinsip umumnya
c) Urusan-urusan keduniaan, ‘uruf dan adat masyarakat.
Kelebihan sifat Murunah;
1. Menunjukkan sifat toleransi dan berhikmahnya Islam.
2. Menarik minat orang bukan Islam untuk memahami keindahan dan mudahnya ajaran Islam.
3. Menggalakkan umat Islam mentaati dan melaksanakan perintah Allah SWT dengan sempurna.
Konsep al-Thabat dan al-Murunah ini jelas ditonjolkan dalam beberapa perkara ibadah. Contoh, kewajipan menunaikan solat akan terus kekal dalam apa-apa keadaan sekalipun, akan tetapi terdapat kelonggaran dalam melaksanakannya. Antaranya, seseorang yang bermusafir boleh untuk solat secara qasar dan jamak. Begitu juga jika tidak mampu berdiri, dibenarkan untuk duduk, baring mengiring atau terlentang dan sebagainya.
Thabat dari sudut matlamat, aqidah, prinsip-prinsip dan nilai-nilainya dan Murunah dari sudut huraian, perincian, pengecualian dan perlaksanaan terhadap matlamat, prinsip dan nilai-nilai yang tetap tadi, begitu juga dalam soal-soal keduniaan, adat dan kebiasaan hidup.
Dengan adanya ciri-ciri Thabat, maka Islam akan terus kekal kukuh dan teguh di sepanjang zaman. Ajaran, pegangan dan prinsip-prinsip Islam tidak pernah goyah dan terumbang-ambing menghadapi apa sahaja suasana dan cabaran zaman.
Pada masa yang sama, ciri-ciri murunah dan tatawwur pula menjadikan Islam sebuah agama yang dinamik dan berdaya maju. Ciri ini mengelakkan Islam dari bersifat jumud dan beku. Dengan itu Islam merupakan agama yang sesuai dan valid dengan kehidupan manusia yang sentiasa berubah dan meningkat dari masa ke masa.
Thabat (constancy) dan Murunah (flexibility) yang merupakan salah-satu ciri-ciri kesederhanaan atau wasatiyyah yang menjadi keistimewaan Islam seterusnya membezakan Islam dengan agama ciptaan manusia. Islam menyapadukan antara keduanya dengan meletakkan setiap satunya pada tempat yang tepat.
Wallahu a'lam.
Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….
Jazzakumullahu khairanjaza’..
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam...
Comments
Post a Comment