TAQARRUB & MURAQABAH
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Rabu, 22 Rejab 1438H
*TAQARRUB & MURAQABAH*
Taqarrub bererti berusaha menghampirkan diri kepada Allah. Mengintai-intai peluang rahmat Allah SWT. Satu usaha yang dilakukan oleh seorang hamba untuk mendapatkan kasih (hubb) Ilahi. Taqarrub merupakan satu martabat pengabdian yang tinggi, melebihi amalan-amalan biasa yang sewajarnya dilaksanakan oleh setiap hamba.
Bertaqarrub atau orang yang melakukannya disebut Muraqabah bererti melakukan amalan-amalan sunat (nawafil) secara terus-menerus. Allah SWT berjanji bahawa Ia akan mengasihi orang yang berkenaan. Apabila Allah SWT telah mengasihi seseorang, Allah S.W.T akan memberi kekuatan fizikal, iaitu telinga, mata, tangan dan kaki, juga kekuatan mental. Apabila orang yang berkenaan memohon, Allah akan memperkenankan dan akan melindunginya andai ia memohon perlindungan.
Seperti dalam sebuah hadis qudsi dari Nabi Muhammad SAW. bahawa Allah SWT berfirman:
وَمَا تَقَرَّبَ إِلَىَّ عَبْدِى بِشَىْءٍ أَحَبَّ إِلَىَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ، وَمَا يَزَالُ عَبْدِى يَتَقَرَّبُ إِلَىَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ …
"Tidaklah hambaKu mendekatkan diri kepadaKu dengan sesuatu yang lebih aku cintai daripada melaksanakan apa yang Aku wajibkan kepadanya, tidaklah hambaKu terus mendekatkan diri kepadaKu dengan nafilah-nafilah (nawafil) hingga aku mencintainya.” (HR: Bukhari & Muslim)
Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Jami’ al-’Ulum wa al-Hikam, menerangkan bahawa orang yang melakukan taqarrub ila Allah ada dua konsep;
1. Orang yang melaksanakan kewajiban-kewajiban (ada‘ al-fara’idh) yang meliputi perbuatan melakukan kewajiban (fi’l al-wajibat) dan meninggalkan yang haram-haram (tarku al-muharramat) Contoh, mengerjakan solat lima waktu dan menjauhi zina.
2. Orang yang melaksanakan yang sunnah-sunnah (nawafil) Contoh, solat sunat tahajud, taubat dan hajat.
Dari penjelasan di atas, jelaslah bahawa taqarrub bukan hanya berupa ibadah mahdhah semata-mata, melainkan mencakupi semua aktiviti untuk melakukan semua kewajipan dan yang sunnah serta meninggalkan segala macam keharaman dan perkara-perkara makruh.
Maka dari itu, berdakwah untuk memperjuangkan syariah Islam tertegak di atas muka bumi Allah juga adalah satu taqarrub ila Allah. Para ulama menegaskan bahawa taqarrub juga mencakup aspek gerak kerja politik. Iaitu usaha untuk menerapkan sistem pemerintahan Islam dengan melaksanakan syariah Islam sepenuhnya dalam semua aspek kehidupan manusia. Termasuk HUDUD !
Imam Ibnu Taimiyah dalam Majm’ ul-Fatwa berkata, “Wajib menjadikan kepemimpinan (imarah) sebagai sebahagian dari agama dan jalan mendekatkan diri kepada Allah (taqarrub) Sebab, mendekatkan diri kepada Allah dalam urusan kepemimpinan dengan jalan mentaati Allah dan RasulNya termasuk taqarrub yang paling utama (min afdhal al-qurubat). Yang merosakkan kepemimpinan tiada lain kerana kebanyakan manusia hanya mencari pangkat dan harta benda dengan kepemimpinan itu.”
Dalam kitabnya yang lain, As-Siyasah Asy-Syar’iyyah, Imam Ibnu Taimiyah menyatakan, “Syariah Islam telah datang untuk mengelola kekuasaan dan harta benda di jalan Allah. Apabila kekuasaan dan harta benda dimaksudkan untuk taqarrub ila Allah dan infak fi sabilillah, maka itu akan menimbulkan kebaikan agama dan dunia. Namun, jika kekuasaan terpisah dari agama, atau agama terpisah dari kekuasaan, maka keadaan masyarakat akan rosak.”
Sesungguhnya bertaqarrub adalah jalan yang perlu dilalui oleh setiap orang yang inginkan kejayaan, ketenangan jiwa dan keamanan di dunia dan di akhirat. Ini juga merupakan langkah untuk menjadi insan Rabbani. Siangnya dia pejuang agama Allah yang hebat dan malamnya dia hamba Allah yang dekat !
Wallahu a'lam...
Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….
Jazzakumullahu khairanjaza’..
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam...
Comments
Post a Comment