AKIBAT BURUK MANUSIA YANG TERLALU MENCINTAI DUNIA
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Ahad, 19 Rejab 1438H
*AKIBAT BURUK MANUSIA YANG TERLALU MENCINTAI DUNIA.*
Tidak boleh dinafikan bahawasanya dunia dan harta kekayaan merupakan keperluan hidup manusia dalam memenuhi hajat hidupnya. Tidak salah kita memiliki dunia asalkan diperolehi dengan cara yang halal, yang Islam haramkan adalah kita terlalu mencintai dunia dan mendapatkannya dengan jalan yang salah dan diharamkan oleh Allah SWT dengan menghalalkan segala macam cara. Allah SWT berfirman dalam Surah Ibrahim, ayat 3:
الَّذِينَ يَسْتَحِبُّونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الْآخِرَةِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ
"Orang-orang yang mengutamakan kehidupan dunia lebih daripada kehidupan akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah SWT, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya".
Kecintaan manusia terhadap dunia akan mendatangkan kesan yang negatif dalam kehidupan manusia. Kerana kekayaan duniawi apabila tidak diimbangi dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, maka ianya akan memujuk dan menipu hidup kita. Allah SWT berfirman dalam Surah Ali-Imran, ayat 185:
وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya".
Adapun akibat buruk kecintaan manusia terhadap dunia di antaranya adalah:
1. Manusia yang terlalu mencintai kehidupan dunia akan menyebabkan kehidupannya jauh daripada Allah SWT. Kerana kesibukannya dalam mencari dunia yang diinginkan dalam hidupnya.
2. Allah SWT mengutuk dan membenci sikap manusia yang terlalu mencintai dunia dan segala apa yang ada di dalamnya. Rasulullah SAW bersabda:
الدنيا ملعونة ملعونة ما فيها إﻻ ما كان لله منها.
"Dunia ini terkutuk, terkutuk apa yang ada di dalamnya. Melainkan yang ada kerana Allah SWT daripadaNya".
3. Manusia yang mencintai dunia dan harta benda akan menjadikannya sebagai matlamat utama. Dan amalan akhiratnya hanya dijadikan alat untuk mencari kekayaan dunia semata-mata.
4. Kecintaan manusia kepada dunia mungkin ianya akan menjadi penghalang untuk mengambil manfaat dari dunia yang dimilikinya untuk meraih kehidupan di akhirat kelak yang lebih kekal untuk selamanya.
5. Kecintaan manusia terhadap dunia akan menghilangkan kepekaan terhadap sesama manusia dengan sikap tamak haloba terhadap harta benda yang dimilikinya yang akhirnya membutakan hukum hakam Allah SWT dengan tidak mengambil kira halal haram harta yang dimilikinya.
6. Manusia yang terlalu cintakan dunia akan melahirkan manusia yang sombong, angkuh, bongkak, dan suka menunjuk-nunjuk (riya') harta kekayaannya di hadapan manusia yang lain.
7. Manusia yang terlalu mencintai dunia akan menyeksa diri sendiri dengan dunia yang dimilikinya dengan perasaan takut hilang dan takut berkurangan harta benda tersebut.
Ya Allah jadikan dunia ini sebagai perantaraan meraih keredhaanMu. Jangan engkau jadikan dunia ini sebagai fitnah yang dapat menjauhkan kami dari jalan yang Engkau Redhai. Sesungguhnya segala nikmat yang Engkau berikan hanya milikMu. Mudah-mudahan kami menjadi hamba yang pandai mensyukuri segala nikmatMu. Aamiinn Ya Robbal 'Aalamiin !!!!!
Wallahu A'lam.
Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….
Jazzakumullahu khairanjaza’..
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam...
Comments
Post a Comment