MURAH HATI

‎السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
‎بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Rabu, 15 Rejab 1438H

*MURAH HATI*

Murah hati mencerminkan kejernihan jiwa yang sentiasa mendapat pancaran cahaya iman. Ia merupakan sifat mahmudah (terpuji) yang berlawanan dengan sifat tamak. Orang yang dirinya dihiasi sifat murah hati sudah pasti memahami semangat persaudaraan perlu diutamakan dan mengasihi sesama insan sebagai mana ia mengasihi dirinya sendiri. Ini adalah manifestasi daripada dorongan iman yang kuat, di samping menyedari setiap rezeki dimiliki hanyalah pinjaman Allah SWT untuk diurus sebaik-baiknya. Kita hanya pengurus bukan pemberi rezeki...

Oleh itu, apabila ada seseorang ditimpa kesusahan, dia akan cepat-cepat menghulurkan bantuan mengikut kemampuan yang ada, sekalipun dirinya sendiri tersepit dalam kesusahan. Bantuan itu sebagai satu jalan untuk merapatkan hubungan persaudaraan dan mendekatkan dirinya kepada Allah demi memperoleh keredhaanNya, bukan kerana nama atau ada maksud tertentu.

Inilah yang termaktub dalam sepotong firman Allah bermaksud:

‎الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
"Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (QS. Ali-Imran : 134)

Pemberian sama ada zakat, sedekah, derma atau hadiah misalnya adalah sumbangan yang menunjukkan seseorang itu memiliki sifat bermurah hati terpancar dari ketakwaan. Suruhan supaya saling membantu bukan hanya ditujukan kepada orang berada, malah mereka yang berpendapatan rendah juga. Malah ada orang kaya yang 'miskin hati' dan ada orang miskin yang 'kaya hati'.

Murah hati dan sifat dermawan sesungguhnya sudah membudaya dalam kehidupan umat Islam hari ini. Apabila terdengar berita mengenai penduduk yang ditimpa musibah sama ada dalam atau luar negara, seperti banjir atau kebakaran beaelmaka tanpa perlu dikerah semuanya berebut-rebut untuk memberi bantuan baik dalam bentuk wang, pakaian mahupun makanan. Sekurang-kurangmenghulur juga seringgit dua...

Sikap tolong-menolong ini sungguh mengagumkan dan menjadi salah satu ciri umat Islam yang patuh dengan suruhan agama. Bermurah hati menepati sunnah baginda Rasulullah SAW. Sewaktu membina rumah tangga dengan Siti Khadijah yang kaya, Baginda tidak melatah menggunakan harta isterinya untuk sesuatu yang sia-sia, membazir dan boros. Sebaliknya, harta itu digunakan untuk membantu fakir miskin dan orang yang susah.

Orang yang dekat dengan Al-Quran, hatinya akan dipenuhi dengan sifat-sifat pemurah ini. Siapa yang mengambil (mengamalkan) Al-Quran dengan bersungguh-sungguh sepenuhnya, insya Allah, Allah akan memberikannya ;

1. Pemurah terhadap diri sendiri. Buat dan berusaha sesuatu untuk mendapat redha Allah SWT.
2. Pemurah kepada orang bawahan. Pemimpin tersebut akan disayangi ramai.
3. Pemurah terhadap hak tubuh badan. Ada waktu berehat dan tidur untuk dapatkan kekuatan dan kesihatan yang baik yang akhirnya memudahkan dirinya untuk beribadah.
4. Pemurah dengan orang sekeliling. Menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada orang lain.
5. Pemurah dengan pengaruh. Menggunakan pengaruh untuk membawa kebaikan, membawa insan sekeliling untuk kembali kepada Allah SWT.
6. Pemurah melalui maruah. Suka beri maaf dan memaafkan.
7. Pemurah melalui sabar. Sabar dengan karenah orang, tegur kesalahan orang dengan baik dan lemah lembut.
8. Pemurah dengan senyuman. Bermuka baik @ manis sesama manusia.
9. Pemurah dengan doa. Sentiasa mendoakan sahabat dan orang lain dalam doanya.
10. Pemurah dengan tenaga. Ringan tulang membantu orang lain.

Kita sebagai orang Islam hendaklah sentiasa mengamalkan sifat pemurah bukan saja kita disayangi masyarakat, dihormati sebagai umat berakhlak mulia pada pandangan manusia, bahkan kekal mendapat curahan rahmat dan keampunan, diluaskan rezeki serta hidup sejahtera. Insya Allah !

Jika seluruh masyarakat bermurah hati, sudah tentu dapat menyelesaikan masalah kesusahan, kedukaan, perpecahan dan sifat dengki-mendengki. Akhirnya hidup akan lebih aman, lebih bahagia dan lebih ganjaran pahala kerana lebih disayangi Allah dan manusia...

Wallahu a'lam - Murah hati bukan tawar hati, doakan istiqamah.

Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….

Jazzakumullahu khairanjaza’..
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam...

Comments

Popular posts from this blog

LELAKI BOLEH TAHU TENTANG PEREMPUAN

Thabat (constancy) dan Murunah (flexibility)

TAQARRUB & MURAQABAH