ORANG BUAT KITA NAK BUAT JUGA
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
*ORANG BUAT, KITA NAK BUAT JUGAK... isH... iSh... ish... !!!*
Renjis-renjis dipilis,
Ditepungilah tawar,
Hati-hati buat majlis,
Janganlah berkat terhindar.
Berdasarkan hukum agama, memenuhi undangan walimatul urus adalah wajib. Malah lebih diutamakan daripada undangan selain daripadanya. Begitulah bagai yang diceramahkan oleh para asatizah. Justeru itu apabila mendapat undangan seumpamanya, Insya Allah akan berusaha untuk menghadirinya kecuali ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan.
Setiap kali menatap kad undangan pasti membuatkan hati teruja untuk turut sama memeriahkannya. Secara spontan mata akan melirik kepada agenda yang tertulis ; "Bersanding?" Seolah-olah agenda wajib dalam majlis kenduri perkahwinan. Adakalanya tersembunyi di sebalik agenda 'Ketibaan Pengantin'. Walaupun tidak dinyatakan agendanya secara jelas, kelazimannya memang disediakan pelamin untuk pengantin.
"Eh! Bukankah kedua ibu bapa pengantin 'Orang Agama' (Ustaz - Ustazah @ Tn. Haji dan Pn. Hajjah)?" "Eh! Bukankah tuan rumah ini yang sering datang ke kuliah maghrib di masjid itu? Nak buat jugak ke...?" Inilah yang membuatkan diri sering merasa tidak selesa untuk bertandang ke majlis-majlis walimah. Terguris rasa di hati, apatah lagi melibatkan saudara-mara dan rakan-taulan sendiri. Berlebihan lagi jika mereka ini di kalangan yang faham agama tetapi kecundang kepada muslihat syaitan. Bunyinya agak kasar tetapi itulah hakikatnya. I'am sorry!
Apabila ditanyakan, bermacam helah diutarakan. "Tak mengapalah, sekali sahaja seumur hidup" atau pun "Anak-anak yang beria-ia sangat Ustaz, kesian kat dia orang".
Persoalannya di sini, apakah hukumnya bersanding dalam Islam? Dari pemahaman diri yang tidak arif agama ini, kesepakatan para alim ulama' menyatakan hukum bersanding adalah haram. Jika dibolehkan pun hanya di kalangan ahli keluarga terdekat yang diadakan secara tertutup. Itupun perlu mengikut ketetapan hukum dan syariah Islam.
Sebenarnya tiada masalah untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan, malah itulah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dengan sekurang-kurang menyembelih seekor kambing. Cuma dari segi perlaksanaannya mestilah betul dan sentiasa meletakkan keredhaan Ilahi dan dambaan keberkatan daripadaNya di tempat teratas.
Ada beberapa perkara dalam majlis walimah yang perlu 'dilihat' semula, antaranya ialah :
*1. Majlis akad nikah dalam dewan solat masjid, tetapi pakaian pengantin perempuan, saudara atau kenalan perempuan pengantin boleh membuat Tok Imam rasa nak kahwin lagi !*
*2. Pengantin perempuan diandam oleh 'Maknyah Andam' dan bukannya Mak Andam yang biasanya lelaki ajnabi bukan muhrimnya.*
*3. Perbuatan andaman yang berbentuk "li tadlis" merubah kecantikan yang sebenar adalah haram.* Antaranya yang disebut oleh al-hadis dari Abdullah Ibn Mas'ud: "Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka*, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah." (HR : Muslim)
*4. Bersolek tebal (tabarruj) dengan pakaian yang ketat walaupun bertudung untuk dilihat oleh orang lelaki lain yang tiada hak padanya.* Berhias dengan tujuan untuk dipamerkan kecantikannya kepada orang ramai adalah dilarang. Firman Allah maksudnya : "Janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu." (QS Al-Ahzab: 33)
*5. Bersanding bagai sehingga berjam-jam entah bila sempat Solat Zohor ataupun tidak ! (kalau solatpun mungkin jam 3.30 @ 4.30 petang bila semua tetamu dah balik)*
*6. Menabur Beras Kunyit atau Menepung Tawar, jika ia ditabur dengan tujuan menambah semangat dan menghalau roh jahat, maka ia adalah perbuatan khurafat dan syirik kepada Allah SWT.*
*7. Makan beradab @ berhadap dengan menu yang akan mengecurkan air liur tetamu miskin yang tak pernah menjamah 'Udang Besar Memanjat Lidi', Ayam Golek, Ikan Jenahak Masak 4 Rasa (rasa ke-4 ialah rasa Riya') dan berbagai lagi sebagai satu kemegahan.*
*8. Mengadakan kenduri walimah secara besar-besaran: Hukum sebenar kenduri kahwin ialah sunat sahaja sebagaimana sabda baginda: "Adakanlah kenduri kahwin walaupun hanya dengan seekor kambing." Islam mencela amalan boros: "Janganlah kamu membazir secara melampau." (QS Al-Isra' : 26)*
*9. Menjadikan hadiah atau pemberian wang sebagai satu kemestian sehingga orang miskin malu nak datang sebab tiada apa-apa yang boleh diberikan. Ini berlawanan dengan roh Islam, firman Allah SWT : "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." (QS Al-Baqarah : 286)*
*10. Mas kahwin dan hantaran yang mahal. Sabda Rasulullah SAW : "Wanita yang paling berkat ialah wanita yang paling murah hantarannya." (HR : Ahmad, Al-Hakim dan Baihaqi)*
Pernah juga beberapa kali menghadiri majlis kenduri perkahwinan yang boleh menjadi model walimatul urus contoh di mana sepanjang majlis diiiringi bacaan al-Quran, zikir, nasyid dan doa. Tiada pelamin, cukup sekadar bersalaman dengan tetamu yang hadir, tiada makan beradab atau makan beradab tetapi menu yang sama dengan menu tetamu dan pakaian pengantin pula sopan menutup aurat. Kedua pengantin pula sendiri yang merai setiap tamu sambil beramah mesra. Segalanya nampak simple tetapi tetap meriah. ^^
Justeru itu amat-amat berharap, usahlah kita mengambil mudah dalam soal hukum hakam dalam Islam. Jika kita melakukannya dalam keadaan jahil, maka ampunan Allah SWT kita harapkan. Namun jika dilakukan dalam keadaan sedar dan faham akan laranganNya, maka dibimbangi kita mengundang ancaman dan murka dari Allah SWT kerana kita bersikap bongkak dan ego laranganNya.
Wallahu a'lam.
*PesanaN bUat Diri sENdIri !!! -_-*
Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….
Jazzakumullahu khairanjaza’..
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam...
Comments
Post a Comment