KENAPA PERLU AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

‎السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
‎بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Selasa, 28 Zulhijjah 1438H

*KENAPA PERLU AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR???*

Islam adalah Agama yang terbaik yang Allah SWT berikan kepada umat manusia. Kebaikan Islam terletak pada dakwah umat Islam itu sendiri, jika terjadi interaksi untuk saling mengajak manusia pada jalan kebaikan dan mencegah manusia dari jalan kemungkaran. Allah SWT berfirman dalam Surah Ali-Imran, ayat 110:

‎كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik".

Amar makruf nahi mungkar merupakan satu kewajipan setiap individu Muslim dalam kehidupan. Dalam kapasiti yang berbeza menurut kemampuan masing-masing.

Adapun tujuan dan kelebihan amar makruf nahi mungkar dalam kehidupan umat Islam adalah:

*1. Amar Makruf Nahi Mungkar Merupakan Keperluan Setiap Umat Manusia.*
Amar makruf nahi mungkar merupakan fitrah setiap manusia sebagai makhluk Allah SWT. Dalam melakukan perhubungan antara manusia, ianya memerlukan adanya perintah dan larangan, suruhan dan tegahan. Kerana kecenderungan nafsu manusia, ia suka pada kejahatan. Maka ianya memerlukan adanya amar makruf nahi mungkar.

*2. Amar Makruf Nahi Mungkar Merupakan Salah Satu Inti Ajaran Islam.*
Tegaknya syariat Islam di atas muka bumi Allah SWT ini, akan dapat terlaksana dengan baik jika umat Islam mampu menunaikan tugas untuk melakukan amar makruf nahi mungkar dalam kehidupannya.

*3. Amar Makruf Nahi Mungkar Merupakan Jalan Untuk Mencegah Turunnya Azab Allah SWT.*
Meninggalkan amar makruf nahi mungkar merupakan punca datangnya azab Allah SWT kepada umat manusia.
Sejarah dalam al-Qur'an menyebutkan bahawa, turunnya bala Allah SWT kepada kaum 'Aad dan kaum Tsamud disebabkan kerana kemungkaran yang mereka lakukan.

*4. Amar Makruf Nahi Mungkar Merupakan Jalan Untuk Menyelamatkan Manusia Dari Pertanggungjawaban Pada Hari Akhirat Kelak.*
Melakukan amar makruf nahi mungkar merupakan salah satu jalan yang dapat menyelamatkan manusia dari pertanggungjawaban nanti di akhirat. Kerana membiarkan manusia melakukan kemungkaran dengan tanpa ada reaksi menegur, memberi maksud kita bersubahat dengan kemungkaran tersebut. Melainkan hati kita tidak redha dengan kemungkaran tersebut.

*5. Amar Makruf Nahi Mungkar Merupakan Tugas Ulama Sebagai Pewaris Para Nabi.*
Amar makruf nahi mungkar merupakan tugas dan kewajipan setiap individu muslim, namun ulama merupakan penanggungjawab terlaksananya dakwah. Jika ulama sudah meninggalkan amar makruf nahi mungkar dek kerana kesibukan duniawi dan hanya mengejar kebendaan dan kedudukan, alamatnya umat akan hancur dan rosak.

*6. Amar Makruf Nahi Mungkar Merupakan Jalan Untuk Merealisasikan Kebaikan Dalam Kehidupan.*
Kebaikan dalam kehidupan dapat diwujud dengan baik jika setiap umat dapat menunaikan tugas dan tanggungjawab dalam melaksanakan dakwah amar makruf dan nahi mungkar dalam semua aspek kehidupan.

*7. Amar Makruf Nahi Mungkar Dapat Merealisasikan Sikap Saling Tolong Menolong.*
Orang-orang yang beriman dalam merealisasikan sikap saling tolong menolong di kalangan mereka adalah dengan saling mengajak kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam menjalani kehidupan.

*8. Amar Makruf Nahi Mungkar Merupakan Faktor Yang Membezakan Antara Keimanan Dan Kemunafikan.*
Yang membezakan antara orang-orang yang beriman dan Orang-orang munafik adalah sikap dalam menjalani kehidupan mengikut pada syariat. Orang yang beriman akan bersikap aktif dalam mengajak kebaikan dan mencegah kemungkaran kepada sesama manusia, manakala Orang-orang munafik adalah orang yang tidak kesah terhadap perbuatan makruf dan tidak mencegah pada perbuatan yang mungkar.

*9. Amar Makruf Nahi Mungkar Merupakan Tugas Utama Para Pemimpin Dan Pemegang Kekuasaan.*
Tegaknya keamanan dan kedamaian serta keselamatan di sesebuah negara apabila para pemimpin dapat menegakkan kebenaran dan keadilan dengan yang terbaik menurut syariat Islam. Mengajak rakyat pada jalan kebaikan serta mencegah perkara yang akan mendatangkan kemungkaran.

*10. Amar Makruf Nahi Mungkar Dapat Menjaga Kebaikan Dalam Masyarakat.*
Bersatunya masyarakat dalam menjalani kehidupan, apabila anggota masyarakat mampu menegakkan kebenaran dan menjauhkan kemungkaran mengikut kemampuan masing-masing. Membiarkan kemungkaran akan menyebabkan rosaknya sendi kemasyarakatan.

*11. Amar Makruf Nahi Mungkar Dapat Menguatkan Iman Seseorang.*
Salah satu daripada tanda kuatnya iman seseorang adalah dengan mengajak sesama manusia pada jalan yang makruf dan mencegah manusia pada jalan yang mungkar.

*12. Amar Makruf Nahi Mungkar Dapat Menjadikan Makbul Doa.*
Salah satu sebab dimakbulkan doa kita disisi Allah SWT, apabila dalam menjalankan aktiviti kehidupan kita, mampu mengajak kebaikan kepada sesama manusia.

Ya Allah Ya Aziz kuatkan iman kami dalam mengajak sesama manusia pada jalanMu. Elakkan kami daripada fitnah Orang-orang munafik yang menghalang kami untuk mengajak kebaikan terhadap sesama manusia. Semoga hidup kami sentiasa berada dalam lindunganMu. Aamiinn !!!!

Wallahu A'lam.

Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….

Jazzakumullahu khairanjaza’..
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam...

Comments

Popular posts from this blog

LELAKI BOLEH TAHU TENTANG PEREMPUAN

Thabat (constancy) dan Murunah (flexibility)

TAQARRUB & MURAQABAH