Kisah Doa Mustajab

Ada seorang ahli sufi yang sememangnya terkenal dengan doanya yang mustajab sehingga tidak ada satu doanya yang tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.

Pada suatu hari, ahli sufi tersebut keluar dari rumah dengan berjalan kaki hinggalah beliau sampai di depan sebatang sungai dan beliau mahu menyeberanginya.

Sekiranya mahu, beliau boleh sahaja berdoa kepada Allah swt supaya beliau dapat berjalan di atas air dan menyeberangi sungai itu dengan sekelip mata.

Namun begitu beliau tidak melakukannya dek bimbang akan timbul perasaan riyak dalam hatinya.

Tidak berapa lama kemudian, datanglah sebuah sampan yang kelihatannya sarat membawa penumpang yang mahu ke seberang. Di atas sampan tersebut kelihatan beberapa orang yang mempunyai tujuan yang sama.

Tiba-tiba ada seorang lelaki yang bertanya kepada ahli sufi tersebut "Wahai ahli sufi bagaimanakah cara kamu berdoa sehingga semua doa kamu termakbul?"

Ahli sufi hanya mendiamkan diri tanpa menjawab pertanyaan lelaki tersebut sehinggalah pada ketika itu hanya tinggal tiga orang sahaja di dalam sampan, iaitu pendayung sampan, lelaki yang bertanya kepada ahli sufi dan ahli sufi itu sendiri.

Tiba-tiba ahli sufi menolak lelaki yang bertanya itu tadi sehingga menyebabkannya terjatuh ke dalam sungai. Lelaki itu pun menjerit meminta tolong kerana tidak tahu berenang dan ternyata dia sememangnya bersungguh-sungguh menjerit meminta tolong.

Dalam kekalutan itu pendayung sampan pun terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkannya.

Lelaki itu berjaya diselamatkan dan kembali berada di dalam sampan. Selepas menghilangkan penat akibat tercungap-cungap menahan diri daripada kelemasan, dia pun kembali bertanya kepada ahli sufi "Wahai ahli sufi mengapakah engkau menolak aku ke dalam sungai?"

"Aku hanya bertanya satu soalan kepada engkau, iaitu bagaimanakah cara engkau berdoa dan semua doa engkau itu mustajab?" sambung lelaki itu lagi.

"Itulah jawapan aku kepada soalan kamu itu tadi" jawab ahli sufi ringkas.

Jawapan itu membuatkan lelaki tersebut terpinga-pinga. Ahli sufi kemudian menyambung semula kata-katanya dengan bertanya "Bagaimanakah keadaan kamu ketika kamu di dalam sungai sebentar tadi?"

"Ketika di dalam sungai sebentar tadi aku menjerit-jerit meminta tolong. Aku benar-benar berharap supaya aku dapat diselamatkan kerana aku sedar bahawa aku tidak pandai berenang. Aku berdoa kepada Allah swt supaya ada orang yang akan datang menyelamatkan aku. Aku berdoa dengan bersungguh-sungguh di samping meminta pertolongan dengan menjerit meminta tolong" jawab lelaki yang hampir kelemasan itu.

"Itulah cara yang sebenarnya ketika berdoa kepada Allah swt. Sekiranya kita berhajatkan sesuatu daripada Allah swt, maka kita seharusnya meminta dengan bersungguh-sungguh dan penuh keyakinan dalam doa kita kepadaNya" balas ahli sufi.

Akhirnya lelaki itu pun faham dengan penjelasan yang cuba disampaikan oleh ahli sufi itu tadi.

Sebagai pengajaran daripada cerita yang disampaikan, maka berdoalah kepada Allah swt dengan bersungguh-sungguh dan penuh keyakinan dan percayalah bahawa Allah swt sentiasa mendengar doa daripada hamba-hambaNya.

Wallahualam

Comments

Popular posts from this blog

LELAKI BOLEH TAHU TENTANG PEREMPUAN

Thabat (constancy) dan Murunah (flexibility)

TAQARRUB & MURAQABAH