PIMPINLAH HATI RAMADHAN INI
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Ahad, 02 Ramadhan 1438H
*PIMPINLAH HATI RAMADHAN INI...*
Hati yang tidak dipimpin disebut sebagai hati yang liar. Bila hati liar ia pasti jauh dari mencintai Pencipta hati tersebut. Malah hati yang liar menjadi tempat kegemaran syaitan bersarang. Justeru, kesempatan yang ada jika kita ditemukan dengan Ramadan pada tahun ini, janganlah dipersia-siakan begitu sahaja. Masa yang terbaik pada bulan tarbiyyah dan melalui madrasah Ramadan ini nanti...
Hati memang mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik. Kerana membersihkan hati adalah wajib. Bila ia bersih, akan membersihkan seluruh kehidupannya. Di antara cara-cara memimpin hati ialah:
1) Ada ilmu tentang hati atau roh. Tujuannya untuk mengenal sifat-sifat hati yang positif dan yang negatif. Kalau tidak ada ilmu tentangnya, sifat-sifat mazmumah tidak akan dapat dikesan. Apalagi untuk ditumpaskan. Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudahnya tidak akan dapat dikesan untuk disuburkan.
2) Perlu latihan-latihan praktikal melalui:
a. Mujahadatunnafsi
b. Istiqamah
c. Tafakur
d. Bergaul dengan orang yang baik-baik
e. Pimpinan mursyid
*A. MUJAHADATUNNAFSI*
Mujahadatun nafsi itu, di antara caranya ialah dengan menempuh tiga peringkat iaitu:
1. Takhalli – mengosongkan, membuang atau menyucikan daripada sifat-sifat yang keji.
2. Tahalli - mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji.
3. Tajalli - terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau sentiasa rasa bertuhan.
Pada ketiga-tiga peringkat ini hendaklah dilakukan dengan mengadakan latihan yang dinamakan Riadatunnafsi (latihan melawan atau memerangi semua kehendak-kehendak hati yang jahat, yang didorong oleh hawa nafsu). Cara memeranginya ialah melalui latihan-latihan menolak kemahuan jahat yang ditimbulkan oleh nafsu. Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:
*1. Takhalli :*
Di peringkat takhalli, kita mesti melawan dan membuang dengan memaksa terus-menerus semua kehendak-kehendak nafsu yang rendah (jahat) dan dilarang oleh Allah. Selagi kita tidak memaksa diri untuk membenci, memusuhi dan membuangnya jauh-jauh secara terus-menerus dari diri kita, selagi itulah nafsu jahat akan sentiasa menguasai dan memperhambakan kita.
Rasulullah SAW bersabda: “Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua lambung engkau.” (HR : Al Baihaqi)
Kerana kejahatannya itu, telah ramai manusia yang ditipu dan diperdayakan untuk tunduk dan bertuhankan hawa nafsu. Ini ada diceritakan oleh Allah dengan firmanNya: “Apakah engkau tidak perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsu menjadi Tuhan, lalu dia dibiarkan sesat oleh Allah berdasarkan ilmu-Nya.” (Al Jasiyah: 23)
*2. Tahalli*
Tahalli bererti menghias. Iaitu perkataan lawan bagi takhalli. Sesudah kita mujahadah yakni mengosongkan hati dari sifat-sifat terkeji atau mazmumah, segera pula kita menghiasi hati dengan sifat-sifat terpuji atau mahmudah. Untuk mudah difahami, cuba gambarkan hati kita sebagai sebuah mangkuk yang kotor.
Kemudian mangkuk itu dibersihkan. Setelah bersih, jangan dibiarkan ianya kosong. Isikan dia dengan barang-barang yang berharga dan makanan yang lazat. Begitu jugalah dengan hati yang telah dibersihkan daripada sifat-sifat mazmumah tadi. Janganlah dibiarkan ianya kosong. Mestilah diisi dengan sifat-sifat mahmudah pula.
*3. Tajalli*
Adalah sejenis perasaan yang bersifat maknawiah (zauk). Tajalli secara ringkas, secara asas dan secara mudah difahami ialah perasaan rasa bertuhan, rasa dilihat dan diawasi. Hati seakan-akan celik, hidup, nampak dan terasa kebesaran Allah. Ingatan dan rindu penuh tertuju pada Allah. Hati tenggelam dalam kebesaran-Nya atau dalam mencintaiNya dengan tidak putus-putus lagi. Harapan dan pergantungan hatinya tidak lagi pada yang selain dari Allah.
*B. ISTIQAMAH*
Sikap istiqamah (tetap) beramal adalah benteng iman yang keempat. Seseorang yang memiliki sikap ini sebenarnya telah mendirikan benteng untuk mengawal imannya daripada gangguan musuh. Sebaliknya, tanpa sikap ini seseorang telah membuka satu pintu kepada musuh-musuhnya untuk masuk ke hati dan merosakkan imannya. Bagaimana ini boleh terjadi?
Kebaikan dari sikap istiqamah ini ialah:
1. Amalan yang dibuat secara istiqamah akan berkesan. Umpama setitik air kalau terus-menerus memukul batu, lama-kelamaan akan melekukkan batu. Sebaliknya kalau banjir sekalipun yang datang tetapi hanya sekali datangnya, tentu tidak berbekas pada batu.
2. Tujuan beramal dan membersihkan hati agar iman dan akhlak subur. Setiap kali kita beramal kita akan merasai nikmat buahnya itu. Jadi kalau sesuatu amalan itu kita kekalkan, maknanya kita akan sentiasa dapat menikmati nikmatnya. Nikmat inilah yang akan memelihara iman kita.
3. Musuh kita terutama nafsu dan syaitan tidak pernah rehat daripada memusuhi kita. Dengan istiqamah, barulah seimbang pertahanan kita terhadap musuh-musuh itu. Maknanya kita juga tidak pernah berehat mempertahankan iman dan akhlak kita.
*C. BERTAFAKUR*
Seterusnya kita lalui jalan berfikir. Berfikir yang dimaksudkan di sini ialah merenung dengan hati dan akal tentang ciptaan Tuhan hingga datang rasa insaf dan terasa kelemahan diri. Misalnya memikirkan rahsia ciptaan alam sehingga terasa kebesaran Allah dan timbul rasa gerun pada kekuasaanNya. Seterusnya memikirkan rahsia perjalanan hati yang bergelombang antara berbagai alunan rasa mazmumah dan mahmudah.
*D. BERGAUL*
Tarbiah dan didikan juga boleh didapati melalui pergaulan. Imam Al Ghazali r.hm. ada berkata, di antara cara-cara yang praktikal untuk membaiki diri, hendaklah kita bergaul dengan orang ramai. Melalui pergaulan dapat dikesan sifat-sifat buruk kita. Manusia umum biasanya lebih memperkatakan tentang keburukan kita daripada kebaikan kita yang kadang-kadang kita sendiri tidak sedar dan tidak tahu itu satu kejahatan. Jadi bila kita dikata orang, barulah kita tahu akan kejahatan diri. Maka di waktu itu mudahlah untuk membaikinya.
*E. PIMPINAN MURSYID*
Cara membaiki diri seterusnya ialah melalui pimpinan. Pemimpin atau guru mursyid itu mampu memimpin kerana kelebihannya yakni dia lebih tahu tentang kecacatan dan kelemahan muridnya lebih daripada muridnya mengenali dirinya sendiri. Mengetahui tentang sir dan batin muridnya. Tahu pula membaca hal-hal halus yang ada pada hati seseorang.
Setelah menempuh kedua-dua jalan ini, dengan hidayah dan taufik daripada Allah, hati atau roh itu akan bersih. Sedangkan hati ini merupakan raja dalam kerajaan diri. Dialah yang mengarah, dialah yang menahan, dialah yang menyuruh dan sebagainya. Sekiranya raja sudah bersih, ertinya raja itu sudah baik, maka segala anggota lahir atau jawarih seperti tangan, kaki, mulut, mata, telinga dan lain-lainnya, akan mematuhinya. Maka puasa kita nanti akan menjadi lebih sempurna pahalanya, insya Allah !.
Wallahu a'lam - Hati-hati bila ada hati.
Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….
Jazzakumullahu khairanjaza’..
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam...
Comments
Post a Comment